Oleh : Nurhamiza Awang Haji Roslan / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Mac. - Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bukan setakat pertemuan tahunan tetapi ia juga adalah wadah strategik untuk membahaskan isu-isu sebenar yang dihadapi oleh negara dan rakyat, berdasarkan penelitian mendalam dan fakta yang kukuh.
Pendekatan sesi dialog dan permuzakarahan bersama kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, perlu dimanfaatkan sebaiknya.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah berpendapat pendekatan sedemikian telah pun terbukti berkesan dalam merapatkan lagi Ahli-ahli MMN dengan masyarakat, dalam memeduli keperluan serta untuk mendengar keluhan rakyat.
“Negara perlu sentiasa peka dengan pergolakan geopolitik antarabangsa dan kesannya terhadap cabaran ekonomi global.
“Negara kita juga tidak terlepas dari menerima kesan cabaran ini, lebih-lebih lagi jika kesan itu menjejaskan harga komoditi tenaga yang menjadi sumber pendapatan negara dan di sinilah Ahli-ahli MMN perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk menangani sebarang ketidakpastian yang timbul," titah baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, mahu melihat tindakan pelaksanaan yang lebih agresif serta ketahanan dalam merangka dasar dan strategi pembangunan negara, khasnya ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035, termasuk usaha berterusan dalam menerokai pelaburan strategik dalam sektor-sektor baharu yang boleh merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan usaha mengukuhkan fiskal kerajaan.
Apa yang pasti, titah baginda, keperluan untuk membangunkan perkara-perkara baharu bukanlah lagi satu pilihan, bahkan ia satu keperluan yang wajar direalisasikan. Namun begitu, titah baginda lagi, kemajuan juga perlu seimbang dengan perbelanjaan berhemah, termasuk mengutamakan inisiatif yang berimpak tinggi untuk meningkatkan daya tahan negara.
“Pendekatan-pendekatan baharu memang diperlukan dalam mewujudkan ekosistem kondusif ke arah pemerkasaan peranan sektor swasta serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Dari sudut infrastruktur dan kemudahan awam pula, usaha perlu diteruskan dengan meneroka penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berkualiti dan selamat," titah baginda.
Terdahulu, Kebawah DYMM dalam titah menzahirkan rasa syukur dengan limpah rahmat Allah juga, dapatlah kita berkumpul bagi Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 2026 Masihi.
Menyentuh mengenai dengan musibah yang berlaku baru-baru ini yang mengorbankan dua penunggang basikal, Kebawah DYMM amat bersimpati dan bertitah dalam hal ini di mana baginda menyeru pihak-pihak yang berkenaan terutama Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya untuk bukan hanya sahaja melihat dari segi perundangan dan penguatkuasaan tetapi juga mesti mengambil berat prasarana yang selamat untuk digunakan.
Dari sudut lain pula, titah baginda, kerajaan akan terus memperkukuh budaya kerja bersih, beretika, berintegriti dan tadbir urus cemerlang merentasi semua sektor.
Ini tambah titah baginda lagi, termasuk usaha membanteras secara agresif gejala rasuah dan salah guna kuasa akan terus dilaksanakan dengan menumpukan kepada sektor-sektor kerajaan dan swasta, khususnya yang melibatkan aspek perkhidmatan dan penguatkuasaan.
“Kerajaan beta tidak akan bertolak ansur dalam membanteras gejala rasuah kerana jika tidak dibendung, ianya akan mengancam keselamatan negara," tegas baginda.
Pada akhir titah, Kebawah DYMM menzahirkan harapan supaya MMN akan membahaskan isu-isu strategik yang berkeutamaan sebagai sifatnya pencetus idea-idea bernas, pragmatik dan inovatif selaras dengan keperluan semasa negara.
Kebawah DYMM ingin Ahli-ahli MMN bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian terhadap cabaran-cabaran dan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan negara.
“Matlamat kita adalah jelas iaitu untuk membina sebuah negara yang progresif dan berpandangan jauh yang mengimbangi inovasi dengan kelestarian kewangan serta terus menjamin kesejahteraan rakyat," titah baginda.